Loading video...

Video Failed to Load

Go Home

𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗘𝗞𝗢𝗡𝗢𝗠𝗜 𝗧𝗔𝗞 𝗚𝗨𝗡𝗔, 𝗛𝗔𝗕𝗜𝗦 𝗥𝗠𝟳𝟱𝟬 𝗝𝗨𝗧𝗔 𝗕𝗨𝗔𝗧 𝗩𝗘𝗡𝗗𝗜𝗡𝗚 𝗠𝗔𝗖𝗛𝗜𝗡𝗘 𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗦𝗨𝗦𝗔𝗛 Naib Presiden PKR, R Ramanan menegur Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara live di depan rakyat Malaysia. Isunya mengenai satu projek membasmi kemiskinan, iaitu Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). Boleh tonton teguran Ramanan kepada Dato’ Seri...

47,093 views • 4 months ago •via X (Twitter)

0 Comments

No comments available

Comments from the original post will appear here

Related Videos

𝗙𝗢𝗥𝗠𝗨𝗟𝗔 𝗩𝗘𝗡𝗗𝗜𝗡𝗚 𝗠𝗔𝗖𝗛𝗜𝗡𝗘 Baru-baru ini, media Singapura iaitu CNA membuat liputan mengenai seorang pengusaha makanan melalui mesin vending bernama Amin Afifi yang telah menjadi viral. Cuma lebih viral di Singapura dari Malaysia. Sebabnya di Malaysia semua mesti dilihat dari lensa politik. Walaun mencemuh usaha membantu golongan berpendapatan rendah sebegini. Mulanya panglima mereka, Sanusi membuat lawak kononnya tidak masuk akal jual nasi lemak pakai mesin vending. Nanti jatuh gedegum, terburai nasi lemak! Kemudian bila IPR atau Inisiatif Pendapatan Rakyat mula mendapat hasil, mereka pusing pula. Katanya takkan ini saja yang Menteri Ekonomi buat. Saya gembira bila media antarabangsa membuat liputan dan idea IPR mendapat komen baik di negara luar. Ini bukan soal mesin vending. Itu hal tersurat sahaja. Yang tersirat ialah bagaimana sesuatu program kerajaan itu perlu memaksimumkan wang rakyat untuk bagi pulangan terbaik kepada rakyat. Tidak cukup dengan membuat program dan mengagihkan bantuan sahaja. Dalam bahasa penggubalan dasar, ini dipanggil “program design” atau “rekabentuk program”. Ambil contoh bantuan untuk membantu golongan B40 dan miskin tegar. Sebelum IPR, kerajaan memang membelanjakan beratus juta setahun untuk membantu golongan berpendapatan rendah berniaga. Di zaman Najib dahulu, ada program bernama 1Azam. Tujuannya hampir sama dan sejumlah RM1.1 billion dibelanjakan di antara 2010 hingga 2013. Penerima diberi bantuan antara RM5,000 hingga RM50,000, kebiasaannya sekitar RM10,000 hingga RM20,000 seorang. Kebanyakannya untuk memulakan perniagaan dan bertani, jadi penerima tidak mendapat wang tetapi mendapat mesin, kelengkapan, baja dan lain-lain. Tetapi tumpuan lebih kepada mengagihkan bantuan supaya dapat diumum berapa yang telah dibelanjakan. Kejayaan meningkatkan pendapatan secara berkekalan itu bercampur-campur. Yang diumumkan adalah 66% penerima berjaya meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya RM300 sebulan untuk tiga bulan berturut-turut. Bayangkan belanja berpuluh ribu seorang tetapi pendapatan bulanan hanya naik RM300 sebulan. Bandingkan dengan IPR yang syaratnya mesti menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Ada yang berjaya mencecah RM4,000 ke RM5,000 sebulan seperti yang dilaporkan dalam liputan CNA. Kita semua tahu sebabnya. Jika tidak berhati-hati, program membantu rakyat sebegini akan menguntungkan pembekal yang menjual mesin, peralatan, baja dan lain-lain kepada kerajaan. Penerima hanya mendapat mesin menjahit, kemudian terkapai-kapai mahu mengusahakan perniagaan jahitan. Dapat mesin air batu, tetapi tidak ada kedai. Dapat gerai, tetapi tidak ada tempat dan lesen untuk menjaja. Masalah utama penerima bantuan bukan sahaja modal atau peralatan, tetapi tempat berniaga. Kalau pertanian, bukan sahaja baja atau benih, tetapi kontrak dengan pemborong untuk membeli pada harga tetap dan masa yang panjang. Dari sinilah, yang tersirat melalui IPR bukanlah mesin vending, tetapi bagaimana program design program kerajaan perlu dikemaskini dan diperbaiki untuk mengurangkan risiko kegagalan sesuatu projek. Yang tersirat ialah tidak cukup dengan mengagihkan bantuan sehingga penerima bergantung kepada bantuan kerajaan. Bagi kail, jangan bagi ikan. Untuk itu, keseluruhan rantaian menjana pendapatan itu perlu disediakan. Masalah utama peniaga makanan ialah akses kepada tempat berniaga yang tinggi trafiknya. Sebab itu kerajaan mengusahakan untuk menempatkan mesin-mesin ini ditempat tumpuan awam, supaya jualannya tinggi. Kerajaan juga tidak memberi tunai kepada mereka, hanya mesin untuk mereka menjual. Laku atau tidak bergantung kepada usaha mereka. Makanan kena sedap dan selalu ditukar; dan mematuhi syarat mesti RM5 ke bawah. Saya juga nak buktikan bahawa kita masih boleh menjual makanan pada harga RM5 ke bawah. Alhamdulillah IPR sudah masuk tahun ketiga. Saya berharap ia diteruskan selepas saya meninggalkan kerajaan. Saya terus menerima mesej dari penerima IPR. Ini yang terkini: - Pengusaha di Hospital Teluk Intan - Pengusaha di Dungun - Petani di Sabah yang telah menghasilkan produk dari tanaman mereka Seterusnya, Insya Allah saya akan meluaskan konsep ini melalui rangkaian kedai perusahaan sosial di bawah Ayuh Malaysia, supaya kita tidak lagi bergantung kepada kerajaan untuk membuka peluang kepada lebih ramai golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan.

Rafizi Ramli

34,011 views • 11 months ago

PENDAPATAN BERTANI MODEN LEBIH TINGGI DARI GAJI MEDIAN NASIONAL Hari ini (28 Januari 2024), YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan melawat ke tapak IPR INTAN Tanjung Rambutan, yang kebetulannya berada di dalam Parlimen Tambun. Ini adalah kali pertama PMX melawat tapak IPR INTAN. Sejak dilancarkan, program basmi kemiskinan melalui pendekatan IPR sering menjadi bahan sindiran segelintir masyarakat. Ada yang berkata ia bukan baru. Ada yang perlekeh vending machine. Ada yang seolah-olah mahu melihatnya gagal. Bagi setiap program kerajaan yang ambil pendekatan baru, memang risiko gagal atau terbengkalai itu ada. Apatah lagi yang melibatkan pembasmian kemiskinan dan aktiviti pertanian. Saya cuba memahami kenapa beberapa projek pertanian yang melibatkan peserta berpendapatan rendah tidak berjaya seperti yang dirancang sebelum ini. Ada beberapa punca utama. Pertama, risiko operasi iaitu apabila tanaman diserang penyakit dan mutu tuaian tidak baik. Kedua, risiko pasaran apabila harga tidak menentu. Yang membawa kepada risiko ketiga, iaitu hasil yang dijana tidak dapat menampung kos buruh/masa, kos baja dan operasi. Kesemua ini mendorong risiko terakhir, iaitu peserta cepat berputus asa. Akhirnya segala bantuan (modal, polybag untuk menanam, baja dan lain-lain) ditinggalkan selepas satu musim (atau belum pun satu musim). Pendekatan IPR INTAN yang melihat satu tapak pertanian sebagai satu “kilang” cuba menyelesaikan semua risiko ini. Peserta menjadi pekerja yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan diberi latihan. Kalau mereka putus asa awal, akan ada peserta baru yang masuk untuk menyambung, seperti pekerja kilang baru mengganti yang telah berhenti. Kontrak jualan telah diikat dengan pembeli pada harga tertentu, supaya peserta tidak perlu menjual sendiri hasil. Kos operasi telah dimasukkan di dalam keseluruhan perancangan kewangan, bukannya diberikan dalam bentuk modal dan baja kepada peserta. Peserta diberi jaminan menerima sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan setiap kali pusingan tanaman, dengan elaun RM600 sebulan dalam 2-3 bulan pertama sebelum boleh dituai.

Rafizi Ramli

366,538 views • 2 years ago

Alhamdulillah saya dapati suara-suara yang memperlekehkan usaha kerajaan membantu golongan B40 dan miskin tegar menambah pendapatan melalui IPR, semakin kurang kedengaran. Ia terbukti berkesan kerana rata-rata peserta dapat menambah pendapatan melebihi RM2,000 sebulan. Ada yang dapat lebih dari itu dan kita sama-sama bersyukur mereka diberi sedikit kelapangan dalam hidup. Sekarang ini, suara yang lebih lantang ialah mereka yang mempersoalkan kenapa permohonan mereka untuk mendapatkan mesin gedegum ini belum lagi mendapat jawapan. Kementerian Ekonomi kini sudah mendapat kelulusan untuk menawarkan mesin ini kepada 4,900 penerima yang layak di seluruh Malaysia secara berperingkat. Eyh, lamanya nak uruskan benda ni? Proses perolehan untuk melantik syarikat-syarikat yang akan menyediakan mesin ini memang mengambil masa. Sejak dilancarkan, Kementerian Ekonomi perlu melalui proses perolehan yang telus. Kalau tidak, nanti ada yang buat fitnah kata saya buat duit dengan melantik syarikat saya sendiri. Proses perolehan dimuktamadkan dalam bulan Ogos 2024 dan dengan itu, sebanyak 4,900 mesin vending IPR akan mula dipasang secara berperingkat di lokasi strategik di seluruh negara. So kena tunggu lagi? Perbezaan program INSAN berbanding mesin vending biasa ada dua: 1. Peserta diwajibkan menjual makanan segar yang diganti setiap 4-5 jam sehari, dengan harga dibawah RM5. Ia memenuhi kehendak semasa orang ramai yang mahukan makanan dimasak segar pada harga murah, berbeza dengan mesin vending lain yang menjual jajan dan air tin sahaja 2. Mesin-mesin ini diletakkan di lokasi strategik yang memang ada permintaan tinggi untuk makanan dimasak segar, sebab itu jualannya tinggi berbanding mesin vending biasa Cabarannya ialah mendapat persetujuan tuan punya lokasi strategik untuk menempatkan mesin-mesin ini. Selain dari persetujuan, Kementerian Ekonomi juga perlu mematuhi syarat-syarat lain berkaitan pendawaian, keselamatan makanan dan lain-lain. Pegawai-pegawai Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab perlu mengetuk pintu seberapa banyak pemilik lokasi awam dan swasta untuk mendapat persetujuan mereka. Proses inilah yang lebih memakan masa dari memilih peserta atau menyediakan mesin vending. Proses itu kini berjalan rancak dan kami berharap 4,900 mesin seterusnya akan ditempatkan menjelang pertengahan tahun 2025, menjadikan jumlah penerima INSAN mencecah 5,000 peserta di seluruh negara. Walaupun proses ini rumit dan cerewet, hasilnya sama dengan kerajaan membina 5,000 kedai dan kiosk kecil ditempat strategik di seluruh negara. Jika dijalankan secara konvensional iaitu membina kedai atau kiosk, wang rakyat yang dibelanjakan adalah jauh lebih tinggi dan lebih sukar dilaksanakan kerana tidak banyak lokasi awam dan swasta yang membenarkan pembinaan baru di lokasi mereka. Bagi mereka yang ingin memohon, boleh daftar di Bagi pemilik lokasi awam dan swasta yang ingin menempatkan mesin vending ini, boleh email ke [email protected]

Rafizi Ramli

25,442 views • 1 year ago

𝗞𝗘𝗣𝗨𝗧𝗨𝗦𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗛𝗞𝗔𝗠𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗥𝗠𝗢𝗛𝗢𝗡𝗔𝗡 𝗥𝗢𝗬𝗔𝗟 𝗔𝗗𝗗𝗘𝗡𝗗𝗨𝗠 𝗗𝗔𝗧𝗢’ 𝗦𝗘𝗥𝗜 𝗡𝗔𝗝𝗜𝗕 Media sosial panas lagi hari ini, walaupun ini musim tengkujuh. Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Alice Loke memutuskan bahawa sebarang keputusan berhubung pengampunan seseorang banduan perlulah dibuat mengikut bidang kuasa yang diperincikan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, oleh kerana titah tahanan di rumah dibuat di luar mesyuarat Lembaga Rayuan iaitu tidak seperti yang diperincikan di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka hakim memutuskan ia tidak sah. Maknanya begini: Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bidang kuasa setiap komponen penting dalam negara kita, dari kuasa Yang diPertuan Agong, Perdana Menteri, Parlimen dan prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi dalam setiap undang-undang dan peraturan yang digubal. Dalam melaksanakan dan mengendalikan bidang kuasa masing-masing, ia mesti juga dilaksanakan berdasarkan perkara-perkara yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Itu tidak terkecuali dalam perkara bersabit pengampunan pesalah-pesalah. Semestinya kuasa itu adalah kuasa Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu, tetapi Perlembagaan menetapkan mekanisme bagaimana kuasa itu dilaksanakan, yang bertepatan dengan model kerajaan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Pada pandangan saya, penghakiman YA Hakim Alice Loke hari ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bidang kuasa Yang diPertuan Agong dalam perkara-perkara lain juga turut dilaksanakan mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan. Contohnya, pelantikan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan banyak lagi pemimpin kepada komponen-komponen kerajaan yang dibuat oleh Yang diPertuan Agong adalah mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan di dalam Perlembagaan. Saya baca reaksi pemimpin Umno. Sudah tentu banyak yang tidak bersetuju atau kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Ada yang kemarahannya meruap-ruap sehingga mengugut untuk menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan, kalau saya faham apa maksud Ketua Pemuda Umnolah. Sebagai rakyat biasa yang berada di luar kepimpinan, saya hanya mahukan sebarang keputusan itu mestilah berasaskan keadilan dan mengikut proses yang sama rata kepada setiap rakyat, tidak kira dia seorang pengemis atau bekas Perdana Menteri. Hak untuk mengambil tindak balas politik itu adalah hak UMNO. UMNO memang ada pilihan untuk menarik diri dari kerajaan. Sebelum ini pun, DAP telah memberi bayangan jika reformasi pentadbiran tidak berlaku dengan lebih cepat, dalam tempoh 6 bulan DAP boleh menarik diri dari Jemaah Menteri dan pentadbiran kerajaan. Jadi, ugutan untuk menarik diri dari kerajaan ini bukanlah perkara yang baru dan itu hak setiap parti. Orang biasa seperti saya hanya akan memerhati sama ada keputusan-keputusan kerajaan dibuat berlandaskan undang-undang, tanpa ada campur tangan atau terpengaruh dengan tekanan politik. Selagi Dato’ Seri Najib dilayan seadilnya sebagai seorang rakyat, saya dan ramai lagi yang berpandangan seperti saya akan percaya bahawa ada kebebasan institusi di negara ini. Selepas ini, Dato’ Seri Najib boleh merayu ke Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan. Kita bukan sahaja akan ikuti keputusan, kita akan teliti hujah penghakiman hakim-hakim, kerana rakyat membuat kesimpulan sama ada berlaku tekanan, atau campur tangan, berdasarkan kekuatan hujah penghakiman yang dibuat. Maka terpulang kepada pimpinan politik. Boleh ugut untuk keluar, boleh saling hentam menghentam. Tetapi kalau selalu sangat mengugut untuk keluar tetapi tidak keluar pun, lama-lama ugutan demi ugutan di masa hadapan akan menjadi tumpul. Pengalaman saya sendiri, saya tidak gemar mengugut. Saya buat keputusan awal-awal. Saya letakkan garis merah awal-awal. Kalau garis merah itu dilanggar, saya letak jawatan. Tidak perlu ugut, tidak perlu kerah penyokong. Kalau garis merah dilanggar, letaklah jawatan. Begitulah pimpinan Umno akan diperhatikan rakyat: adakah pengampunan Dato’ Seri Najib ini satu garis merah? Sebab kalau ugutan keluar Kerajaan Madani terus dibuat tetapi sampai ke sudah tidak keluar, maksudnya isu pengampunan Dato’ Seri Najib ini bukanlah satu garis merah.

Rafizi Ramli

34,246 views • 8 months ago

𝗥𝗘𝗙𝗢𝗥𝗠𝗔𝗦𝗜 𝗦𝗧𝗥𝗨𝗞𝗧𝗨𝗥 𝗘𝗞𝗢𝗡𝗢𝗠𝗜 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 Saya ditanya apa yang dibuat semasa menjadi Menteri Ekonomi? Menteri Ekonomi bertanggungjawab menyelia perancangan negara (termasuk hal ehwal ekonomi) buat jangka masa panjang. Tumpuan utama saya sepanjang memikul amanah itu ialah mengubah struktur dan pendekatan, supaya kita tidak melakukan perkara kosmetik yang membelanjakan wang rakyat tetapi tidak kekal berpanjangan (kerana struktur tidak berubah). Tekanan mendesak ekonomi negara ialah daya saingnya yang perlu ditingkatkan. Ini melibatkan usaha mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, mengubah struktur ekonomi negara (agar kita beralih kepada aktiviti bernilai tinggi) dan melakukan reformasi pasaran kerja (agar pekerja mendapat kenaikan gaji yang setimpal dan negara tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing). Ada yang kesannya boleh dinilai terus oleh rakyat. Melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kita merangka bentuk bantuan kerajaan agar penerima perlu bekerja untuk mendapat tambahan pendapatan, sementera pelaburan kerajaan mewujudkan infrastruktur kekal yang boleh membantu penerima akan datang menjana pendapatan. Ada yang kesannya sudah dirasai. Contohnya, penubuhan JSSEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) mewujudkan enjin pertumbuhan yang menarik pelaburan baru atas sifatnya sebagai zon pertama di rantau ini yang melibatkan dua negara. Integrasi ekonomi Johor dan Singapura menjadi kes ujian pertama ke arah integrasi ekonomi Asean, yang mempunyai potensi besar di masa hadapan. Ada yang kesannya dirasai oleh sebahagian penerima tetapi perlu ditingkatkan pelaksanaan supaya lebih ramai menyertai. Contohnya, Dasar Gaji Progresif telah berjaya menaikkan gaji pekerja yang majikannya telah menyertai skim ini, tetapi kita perlu percepatkan supaya lebih ramai majikan menyertainya. Insya-Allah, saya akan huraikan kenapa dan bagaimana dasar dan program besar yang dimulakan oleh Kementerian Ekonomi sebelum ini wajar diteruskan dan ditingkatkan, ke arah menambah baik struktur ekonomi negara.

Rafizi Ramli

60,257 views • 1 year ago

Baru-baru ini, nama saya diseru di DUN Kedah. Saya dituduh sengaja memangsakan rakyat Kedah dengan tidak meluluskan permohonan projek di Kedah. Tuduhan ini tidak beri gambaran yang penuh. Cerita sebenarnya adalah begini. Kerajaan Kedah minta pinjaman dari Kerajaan Persekutuan untuk bangunkan Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park atau KHTP. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi sebenarnya telah pun meluluskan RM195 juta kepada Kerajaan Kedah. Masalahnya setelah diluluskan, projek masih belum boleh berjalan kerana tanah yang dikemukakan semasa permohonan pinjaman itu bermasalah dan pembelian tidak dapat diteruskan. Kalau belum ada tanah, projek tidak dapat diteruskan. Memang syarat, mana-mana peruntukan Kerajaan Persekutuan ialah, hal pemilikan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum peruntukan diluluskan semula. Kerajaan Kedah sekarang mendakwa mereka telah mengenal pasti tanah baru yang perlu dibeli dan menuntut supaya Kementerian Ekonomi meluluskan juga pelepasan peruntukan RM195 juta itu walaupun hal pemilikan tanah belum diselesaikan. Kita ada banyak pengalaman yang projek diumumkan dahulu dan peruntukan telah disediakan tetapi projek itu tergendala kerana isu pemilikan tanah yang masih tertunggak. Sedangkan Kerajaan Persekutuan perlu meminjam wang untuk menyediakan RM195 juta itu dan membayar faedah pinjaman. Kalau projek ini tergendala, rakyat Malaysia kena menanggung faedah pinjaman selama mana Kerajaan Kedah tidak dapat menyiapkan projek itu. Kita semua sedia maklum rekod pentadbiran Kerajaan Kedah sekarang bila projek tak jadi, dia akan kata saya tukang baca je ataupun itu projek swasta bukan projek saya. Lain kali sebelum seru nama saya untuk kandungan TikTok, semaklah dulu keseluruhan fakta isu itu.

Rafizi Ramli

140,613 views • 1 year ago

𝗜𝗡𝗜 𝗠𝗨𝗦𝗜𝗠 𝗧𝗨𝗡𝗧𝗨𝗧 𝗟𝗘𝗧𝗔𝗞 𝗝𝗔𝗪𝗔𝗧𝗔𝗡 Kita akan terus dihiburkan dengan siri sketsa politik terbaru yang bertajuk “Sila Letak Jawatan”. Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh minta Nga Kor Ming dari DAP letak jawatan dulu, baru dia letak jawatan. Dato’ Seri Anwar minta menteri-menteri dan lantikan politik dari UMNO letak jawatan kalau menyerang Kerajaan Persekutuan semasa berkempen di PRN Negeri Sembilan. Kemudian dijawab Dato’ Seri Mohamad Hassan; kalau PM suruh dia letak jawatan, maka dia akan letak. Dato’ Seri Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, jawab terbuka kepada Perdana Menteri - tak payah suruh letak jawatan, pecat saja. Budaya letak jawatan adalah sesuatu yang sangat asing dalam budaya politik Malaysia. Lazim ahli politik kita, kalau boleh bawa jawatan menteri itu masuk kubur, dia bawa sekali. Kalau boleh, dengan meja dan kerusi dari pejabat menteri dia bawa sekali. Itu budaya kita. Orang kita yang jadi pengundi pun suka budaya macam tu, kalau kita letak jawatan menteri tiba-tiba ada je yang jawab “prinsip saja tidak cukup, perlu kuasa”. Saya ingin bercakap dari pengalaman. Saya dan Nik Nazmi adalah hanya beberapa kerat manusia dalam sejarah negara yang pernah meletakkan jawatan secara sukarela. Bagi saya, apabila kita mengangkat sumpah menjadi menteri, kita bersumpah melakukan yang sebaik mungkin melaksanakan amanah. Matlamatnya ialah untuk berkhidmat, agar buah fikiran dan usaha kita membantu rakyat dan negara. Itu prinsip dan hala tuju kita. Maka keputusan kekal atau tidak dalam jawatan itu mesti merujuk kepada prinsip dan hala tuju itu. Kita hanya boleh melaksanakan amanah kita dengan sebaik mungkin kalau ada kepercayaan dari Perdana Menteri kerana beliau yang mengawal kerajaan. Kepercayaan itu diterjemahkan menjadi dukungan jabatan-jabatan utama untuk menzahirkan buah fikiran dan usaha kita mengemudi kementerian. Tanpa kepercayaan dan keyakinan itu, apa saja buah fikiran dan usaha kita akan menemui jalan sukar untuk dilaksanakan kerana tidak akan didukung oleh kerajaan; yang menunggu isyarat dan menerima arahan Perdana Menteri. Sebab itu saya letak jawatan. Beri ruang kepada orang lain yang ada kepercayaan dan keyakinan dari Perdana Menteri kerana itu memastikan apa yang dirancang oleh kementerian dapat dilaksanakan dengan baik. Bagi saya, polemik letak jawatan menteri yang berlegar sekarang sepatutnya perlu kembali kepada soal prinsip yang paling utama: apa yang rakyat dapat bila kita ada menteri-menteri dan kerajaan yang sudah jelas saling tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan? Di pihak UMNO/BN dan PAS/PN, mereka berharap agar mereka boleh tebuk atap dan mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Tumpuan bukan selesai masalah rakyat tetapi untuk isi jawatan. Di pihak PH, kalau pun UMNO kekal menyokong Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri, kita ada sebuah kerajaan yang penuh kepura-puraan. Di depan memuji, di belakang mencemuh. Malah saya ingat sepanjang saya berada dalam Jemaah Menteri, antara menteri-menteri yang paling mesra dan paling banyak memuji Perdana Menteri adalah menteri-menteri UMNO ini lah. Yang dari PKR tidak pernah memanggil Perdana Menteri dengan panggilan Sir. Hanya menteri UMNO yang beriya-iya panggil Dato’ Seri Anwar “Yes sir, you are right sir, you are great sir”. Dato’ Seri Anwar dan PH sudah tentu akan cuba sedaya upaya mengekalkan kerajaan yang ada ini, tetapi musibah ini berlaku kerana beliau juga yang memberi ruang sepenuhnya dan menjemput UMNO, sehingga ada 8 orang menteri. Akhirnya, saya tak rasa mana-mana menteri yang ada akan kembali kepada makna angkat sumpah mereka semasa menerima jawatan: iaitu prinsip untuk menjalankan amanah sebaik mungkin kerana fokus ialah tikam menikam dan sepak terajang politik. Tapi rakyat pun tak boleh mengeluh sangat kerana ini budaya yang kita rai selama ini. Ini budaya politik dan budaya kuasa yang dipertahankan selama ini. Demi kuasa, ciumlah dan kahwinlah dengan sesiapa, asal puas nafsu. Demi kuasa, boleh bawa pacar terbaru masuk rumah, tak balik rumah pun tak apa, asal tak lafaz talak lagi. Yang berputih mata adalah anak-anak. Belanja sekolah entah ke mana, makan minum tak terurus. Tapi ibu bapa tahu, asalkan sekali sekala beli mainan terbaru untuk anak-anak, mereka akan lupa. Jadi tak payah layan sangatlah sketsa politik ulangan ini.

Rafizi Ramli

48,827 views • 1 month ago

Gaji penjawat awam akan naik, gaji pekerja swasta bila lagi? Ini soalan yang sering ditanya. Salah satu strategi utama kerajaan untuk menangani kos sara hidup ialah memastikan pertumbuhan gaji yang lebih seimbang kepada rakyat. Antara keputusan pertama saya sebagai Menteri Ekonomi ialah meminta DOSM menerbitkan laporan gaji pekerja formal setiap 3 bulan sekali, menggunakan data gaji setiap pekerja formal yang ada di KWSP dan PERKESO. Ini bagi membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih baik untuk menaikkan gaji dalam tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani. Laporan gaji pekerja formal terkini ialah bagi suku kedua 2024 berakhir Jun 2024. Ada beberapa perkembangan awal mengenai pertumbuhan gaji antara Jun 2023 dan Jun 2024: - gaji median meningkat dari RM2,600 sebulan ke RM2,745 sebulan. Gaji median ialah taburan gaji pertengahan, maknanya dari 6.73 juta pekerja yang bergaji (atau pekerja formal), bila dibandingkan gaji bagi setiap pekerja, gaji pertengahan ialah RM2,745 - jumlah pekerja yang gaji di bawah RM2,000 sebulan telah berkurang dari 34.8% dari jumlah pekerja dalam Jun 2023, kepada 32.2% dalam Jun 2024 - jumlah pekerja yang gaji antara RM2,000 ke RM5,000 telah meningkat dari 42.7% dari jumlah pekerja dalam Jun 2023, kepada 43.8% dalam Jun 2024 - Jumlah pekerja yang gaji melebihi RM5,000 juga telah meningkat dari 22.5% dari jumlah pekerja dalam Jun 2023, kepada 24% dalam Jun 2024 Pertumbuhan gaji ini mendukung hasrat kerajaan untuk menganjakkan gaji median menjadi lebih tinggi setiap tahun agar gaji yang dinikmati setiap isi rumah menjadi lebih baik. Pun begitu, fenomena gaji rendah ini masih menjadi cabaran kepada ekonomi negara. Walaupun ada pertumbuhan yang menyaksikan jumlah pekerja di bawah gaji RM2,000 sebulan telah berkurang, 32.2% pekerja di dalam kategori ini bersamaan dengan 2.167 juta rakyat Malaysia masih digaji RM2,000 sebulan. Keadaan akan menjadi lebih baik bermula 2025 dengan tiga keputusan utama kerajaan berkenaan gaji pekerja: Pertama, kenaikan gaji penjawat awam. Kedua, kenaikan gaji minima kepada RM1,700 sebulan.Ketiga, pelaksanaan sepenuhnya gaji progresif bagi pekerja swasta dengan peruntukan awal RM200 juta bagi 2025. Insya Allah, keadaan gaji akan bertambah baik setiap tahun selepas ini.

Rafizi Ramli

13,371 views • 1 year ago

𝗣𝗔𝗥𝗟𝗜𝗠𝗘𝗡 𝗠𝗘𝗦𝗬𝗨𝗔𝗥𝗔𝗧 𝗣𝗘𝗥𝗧𝗔𝗠𝗔 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗚𝗔𝗟 𝗞𝗘𝗟𝗜𝗠𝗔 Sesi Parlimen dinamakan mengikut tatacara khusus. Bagi tahun 2026, ini adalah: Mesyuarat Pertama - maksudnya mesyuarat kali pertama dalam tahun ini Penggal Kelima - maksudnya tahun kelima, sebab penggal pertama bermula masa angkat sumpah dalam Disember 2022 Parlimen ke-15 - maksudnya parlimen ini terdiri dari ahli-ahli parlimen dan pentadbiran susulan keputusan PRU15. Mesyuarat pertama ini akan berlangsung sehingga awal Mac 2026. Sebahagiannya adalah untuk membahaskan Titah Diraja bersempena pembukaan Parlimen, selepas itu kerajaan akan membentangkan rang undang-undang yang perlu diluluskan. Sudah tentu, tiap-tiap hari akan ada soalan-soalan Parlimen yang perlu dijawab oleh kerajaan. Saya akan menumpukan kepada beberapa perkara dalam mesyuarat pertama ini. Selain dari meneliti prestasi ekonomi dan cadangan-cadangan supaya negara mempercepatkan perubahan struktur ekonomi, iaitu pengkhususan yang saya ambil di Parlimen sejak dahulu lagi, saya juga akan menyusun bersama-sama rakan-rakan ahli parlimen yang lain untuk memberi tumpuan kepada cadangan DPA (deferred prosecution agreement, atau perjanjian pendakwaan tertangguh) untuk diperhalusi. Setakat ini, saya merasakan cadangan SPRM ini sangat tidak popular dikalangan rakyat kerana melihatnya tidak adil kepada rakyat biasa, apabila syarikat dan individu kaya yang dituduh ada salah laku melibatkan lebih RM100 juta boleh berunding untuk didakwa, asalkan ada bentuk-bentuk pampasan kewangan kepada kerajaan. Sedangkan seorang rakyat biasa yang mengambil barang dapur di kedai bernilai kurang RM500 didakwa dan dipenjara. Ada penyokong dan ceplos-ceplos PKR yang selalu memperli saya kenapa saya tidak berani berdepan dengan menanyakan terus di Parlimen kepada Perdana Menteri. Soalan-soalan yang dikemukakan akan ditapis oleh kerajaan. Soalan yang naik juga ditentukan oleh kerajaan. Soalan yang dijawab Perdana Menteri atau menteri-menteri juga ditentukan kerajaan. Selalunya soalan-soalan ini dibenarkan naik kerana kerajaan ada jawapan yang dirasakan boleh pukul pembangkang. Bila Perdana Menteri atau menteri-menteri jawab, yang bertanya tidak ada peluang untuk jawab balik kerana tatacara perbahasan, iaitu hanya boleh bertanya dan bukan membalas balik. Sebab itu, saya tidak pernah menggunakan proses kemuka soalan di Parlimen sebagai medan berpolitik. Soalan-soalan yang saya tanya ialah untuk mendapatkan fakta yang tidak boleh diperolehi dari sumber awam. Medan menyampaikan maklumat, berhujah, mengkritik, memberi pandangan adalah lebih luas dari sidang parlimen. Terlibat di dalam urusan parlimen - bertanya soalan, berbahas, membuat usul - itu adalah perkara minima bagi seorang ahli parlimen. Tugas hakiki adalah membawa suara rakyat ke medan yang lebih besar di luar parlimen, agar kita boleh membawa perubahan dalam masyarakat. Moga penggal kelima parlimen tahun 2026 ini lebih bermutu, membawa pencerahan dan mencerdikkan kita semua.

Rafizi Ramli

12,104 views • 7 months ago

𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗔𝗗𝗔 𝗖𝗛𝗜𝗣 𝗦𝗘𝗡𝗗𝗜𝗥𝗜 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗧𝗘𝗠𝗣𝗢𝗛 𝟱 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 Ada satu berita positif mengenai Malaysia yang tenggelam di tengah-tengah banyak cerita negatif dan keputusan pilihanraya akhir-akhir ini. Minggu ini, Malaysia melangkah setapak lagi untuk menukar wajah industri elektronik kita - dari menjadi tukang pasang saja, kepada pencipta chip elektronik yang dipakai dalam pelbagai aplikasi moden. Ia satu perkara yang sentimental kepada saya. Sebagai Menteri Ekonomi, saya diberi tanggungjawab untuk merancang. Kementerian Ekonomi tidak ada kuasa untuk melaksanakan. Kalau perancangan itu baik, setelah sudah dibuat semua, program atau dasar itu akan diambil oleh kementerian atau agensi lain. Ada program yang dibangunkan, bila diserahkan kepada kementerian lain, berjalan dengan baik. Contohnya Dasar Gaji Progresif. Ada dasar yang pada mulanya dipersetujui bersama, bila telah dibangunkan, dibangkang oleh kementerian lain. Ada banyak kes begini. Ada juga yang ditentang habis-habisan oleh beberapa menteri lain, tetapi saya bertegas sehinggalah berjalan, bila dah berjalan, menteri yang mati-matian menentang itu - merekalah yang paling kedepan tersenyum berjabat tangan. Ini pengalaman pahit manis saya cuba merombak dan menaik taraf industri semikonduktor negara. Salah saya hanyalah kerana ada angan-angan. Angan-angan saya ialah untuk melihat kita beralih dari menjadi kilang tukang pasang yang nilainya rendah, kepada negara yang mencipta dan biar orang pasang barang kita. Dari Made in Malaysia kepada Made by Malaysia, kerana bila kita cipta sendiri, untung yang lebih tinggi bukan sahaja memberi nilai ekonomi, ia mewujudkan pekerjaan bergaji dan berkepakaran tinggi kepada anak-anak kita. Idea ini bukanlah angan-angan Mat Jenin sangat sebab negara lain seperti China, Korea Selatan dan Taiwan pun ambil pendekatan yang sama. Orang kita senang terkeliru bila ada kilang besar dibuka di Malaysia. Kita ingat itu secara automatik akan memindahkan teknologi. Sebenarnya tidak. Kalau kilang itu dibangunkan oleh syarikat global hanya untuk memasang, maka kita hanya digaji untuk memasang. Sebab itu negara lain telah lama memberi tumpuan kepada membangunkan harta intelek, atau IP sendiri. Saya berpandukan kepada pengalaman China, Korea Selatan dan Taiwan dalam usaha menukar hala tuju industri semikonduktor. Mereka membeli IP asas untuk membuat chip. Dari IP asas itu, mereka perbaiki dan hasilkan IP mereka sendiri. Berdasarkan IP itu, mereka cipta chip yang dijual diseluruh dunia. Angan-angan inilah yang menghasilkan Silicon Vision yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi, dengan cita-cita menghasilkan chip ciptaan Malaysia dalam tempoh 5 tahun. Maklumat lanjut boleh dibaca di Kami berjaya berunding dengan ARM, iaitu syarikat IP chip terkemuka dunia untuk membangunkan satu program chip nasional bagi sebuah negara, iaitu program pertama seumpamanya di dunia yang dipersetujui ARM. ARM adalah syarikat yang mencipta chip yang memonopoli pasaran chip dunia. Lebih 90% dari chip yang digunakan di dalam telefon pintar, gajet dan pelbagai peralatan moden dicipta oleh ARM. Saya yakin majoriti rakyat yang mengikuti bersetuju bahawa ini jalan ke depan untuk memodenkan ekonomi kita. Semua ahli akademik, profesor, pakar-pakar netizen kuat bersyarah bahawa kita mesti meningkatkan penghasilan teknologi. Tapi bila sampai nak buat, masing-masing toleh kiri toleh kanan. Itulah pengalaman pahit manis saya - bila dah siap semua, paling saya terkejut ialah bangkangan mati-matian itu banyaknya berdasarkan kepada hujah “kita belum bersedia”. Hujah yang diberikan kepada saya: berapa banyak syarikat yang boleh buat ni? Sebenarnya kita telah kenal pasti dari awal syarikat-syarikat yang berpotensi untuk mencipta chip Made by Malaysia dalam tempoh 5 tahun dari sekarang. Memang bukan semua syarikat tempatan boleh mencipta chip elektronik. Tetapi untuk menghasilkan lima syarikat Malaysia dalam tempoh 10 tahun itu boleh. Dan ada syarikat global yang ingin datang melabur dan menjadi sebahagian dari program pembangunan cip dengan ARM ini. Akhirnya dalam tempoh kurang dari 9 bulan setelah Kementerian Ekonomi melancarkan Silicon Vision, dua syarikat pertama diterima masuk ke dalam program ini. Satu syarikat tempatan iaitu Skyechip, iaitu syarikat yang ditubuhkan oleh jurutera-jurutera yang pernah bekerja dengan gergasi dunia seperti Intel. Mereka adalah antara syarikat tempatan yang meneraju penciptaan chip di Malaysia. Satu lagi ialah syarikat antarabangsa, iaitu XPeng, pembuat kereta elektrik mewah dari China yang menawarkan EV berteknologi tinggi. Perbincangan saya dengan XPeng awal tahun ini meneroka pembangunan bersepadu: mereka membangunkan chip yang direka Malaysia dan akan digunakan di dalam kereta-kereta mereka di seluruh dunia. Ini termasuk membuka pusat pembangunan chip di Malaysia yang menggunakan kepakaran tempatan. Pembangkang, dan kini penyokong kerajaan, selalu menuduh yang kerja saya tidak berbekas. “Sekarang baru bising, masa jadi menteri tidak buat apa” Ada segelintir orang kita yang suka nampak benda di depan mata. Berapa banyak projek diumum, berapa banyak wang diagihkan. Yang ini konon banyak buat kerja. Mereka tidak gemar perkara-perkara yang rumit. Kalau terang pun dia suruh lukis. Menteri yang cuba ubah sesuatu ke arah lebih baik secara radikal dengan pasang cita-cita besar, menteri itu sebenarnya bodoh. Sebab usaha itu tidak dapat tepukan dari rakyat di luar, dan mendapat tentangan dari dalam kerana mencabar status quo. Tapi kalau kita pasang niat jadi menteri untuk ubah keadaan, bukan untuk makan duit atau bermewah dengan kedudukan, satu-satunya kepuasan ialah apabila angan-angan Mat Jenin kita jadi kenyataan. Saya harap dalam 4-5 tahun dari sekarang, apabila Malaysia melancarkan cip ciptaan Malaysia yang pertama, saya akan tersenyum puas.

Rafizi Ramli

12,826 views • 8 months ago

Gaji RM7,000 sebulan dah tak layak dapat subsidi RON95? Kalau belum dimuktamadkan kenapa umum dahulu? Tak buat homework ke? YAB Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 tahun depan. Banyak komen di luar sana dan saya faham ini peluang yang baik untuk membuat kandungan TikTok. Pertamanya, saya ajak kita semua menghadam dahulu apa yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri: 1. Tidak ada kenaikan harga RON95 kepada golongan yang berada dalam 85% terbawah dari segi kedudukan sosio-ekonomi. Nak mudah cakap, 85% daripada kita akan terus bayar harga RON95 seperti biasa, jadi tidak timbul soal subsidi ditarik, rakyat dibebankan seperti yang diwar-warkan 2. Bagi golongan yang berada di dalam 15% teratas dari segi kedudukan sosio-ekonomi, mereka akan membayar harga pasaran Maka ada yang terlebih laju dengan segera membuat kesimpulan T15 ini merujuk kepada pendapatan isi rumah semata-mata. Ni macam terlebih laju hebahkan menang perlumbaan sedangkan tak habis pun perlumbaan. B40, M40, T20 atau T15 hanyalah garis statistik yang bergantung kepada set data. Kalau set data itu merujuk kepada taburan pendapatan isi rumah seluruh Malaysia, maka T15 merujuk kepada isi rumah yang taburan pendapatannya adalah 15% paling tinggi. Tetapi kita sedia maklum bahawa kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi, tanggungan dan sebagainya. Sudah tentu penentuan T15 ini adalah merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah keluarga yang lebih adil ini sedang berlaku. Eyh kenapa umum tak bincang dulu? Pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil itu telah dibincangkan sebelum ini. Di Parlimen pun saya telah nyatakan hasrat kerajaan untuk beralih dari pengukuran berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Kaedah-kaedah yang dicadangkan dan dipertimbangkan juga telah dibentangkan dan dibincangkan di pelbagai peringkat kerajaan. Sekarang, setelah kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 dengan garis masa yang jelas, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri. Setelah semuanya telah diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat. Still tak puas hati, kenapa umum masa Belanjawan sedangkan perincian belum dimuktamadkan? Belanjawan ialah penyataan hasrat dan rancangan kerajaan untuk tahun itu. Hatta angka-angka yang diumumkan itu adalah satu anggaran dan unjuran. Bukannya kita dah buat spesifikasi bangunan, lantik kontraktor baru dimasukkan dan diumumkan di dalam Belanjawan. Kerajaan menyatakan rancangan pendapatan dan perbelanjaan, yang melibatkan dasar-dasar dan projek-projek pada anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat. Selepas diluluskan, kerajaan kemudian menggunakan kelulusan itu untuk memperincikan projek-projek untuk dilaksanakan, termasuklah membuka tender, melantik kontraktor dan sebagainya. Kalau ikut Syed Saddiq yang semuanya perlu diperincikan dan telah dimuktamadkan sebelum boleh diumum di dalam Belanjawan, maka bertahun-tahunlah baru kita boleh siapkan satu belanjawan dan berjilid-jilid buku belanjawanlah yang perlu dicetak untuk setiap seorang Ahli Parlimen. Sepatutnya beliau sedia maklum proses ini sebab beliau pernah menjadi menteri termuda.

Rafizi Ramli

370,859 views • 1 year ago

22 𝘈𝘱𝘳𝘪𝘭 2026 𝗠𝗘𝗡𝗝𝗔𝗪𝗔𝗕 𝗦𝗘𝗧𝗜𝗔𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗧𝗜𝗞 𝗥𝗔𝗠𝗔𝗡𝗔𝗡: 𝗞𝗘𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜𝗔𝗡 𝗘𝗞𝗢𝗡𝗢𝗠𝗜 𝗠𝗘𝗠𝗔𝗡𝗚 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗘𝗧𝗨𝗝𝗨 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗔𝗠𝗕𝗨𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗞𝗢𝗡𝗧𝗥𝗔𝗞 𝗙𝗪𝗖𝗠𝗦 Pandangan saya dan 9 lagi Ahli Parlimen PKR mengenai cadangan satu sistem baru pengurusan pekerja asing telah mengundang kenyataan balas dari Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia, R Ramanan yang bernama Aizuddin Abd Ghafal. Isnin lalu, saya dan 9 Ahli Parlimen PKR telah menyatakan bangkangan kami kepada cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk mempertimbangkan satu sistem baru yang dipanggil TURAP untuk menguruskan pekerja asing. Jika diluluskan kerajaan, itu bermakna kerajaan memberikan konsesi pengurusan pekerja asing kepada sebuah syarikat bernama Bestinet Sdn Bhd selama 12 tahun, yang melibatkan pendapatan berbilion ringgit kepada Bestinet. Sebelum ini, Bestinet telah diaudit oleh Ketua Audit Negara dan disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Kedua-dua audit dan siasatan itu telah melaporkan pelbagai kepincangan dan pelanggaran tadbir urus. Setakat ini, R Ramanan sendiri tidak menjawab perkara-perkara yang kami timbulkan. Sebaliknya, satu-satunya kenyataan datang dari Setiausaha Politik beliau iaitu Aizuddin Abd Ghafal, yang mempersoalkan kenapa saya dan Nik Nazmi Nik Ahmad (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) tidak membantah penyambungan kontrak FWCMS (Foreign Workers Centralised Management System) oleh Bestinet semasa kami berada di dalam Jemaah Menteri dahulu. Aizuddin cuba mengkritik kononnya kami tidak konsisten dalam pendirian dan hanya mengambil kesempatan untuk mengkritik selepas kami tidak lagi di dalam Jemaah Menteri. Saya memang menunggu ada orang dari PKR atau Kementerian Sumber Manusia melontarkan serangan peribadi seperti ini. Walaupun serangan seperti ini tidak menjawab perkara-perkara bersabit ketelusan dan integriti yang kami timbulkan, ia membuka peluang kepada saya menerangkan apa yang berlaku di belakang tabir dalam isu-isu nasional seperti FWCMS dan Bestinet ini. Aizuddin, yang mewakili R. Ramanan, Menteri KESUMA cuba mewujudkan persepsi kononnya saya hanya mengkritik setelah tidak lagi menjadi menteri. Kononnya saya bersetuju dan tidak membantah mengenai FWCMS dan Bestinet semasa di dalam Jemaah Menteri itu. Sebenarnya, saya telah membantah dan tidak bersetuju secara bertulis. Bantahan ini ada di dalam rekod minit Jemaah Menteri dan rekod ulasan rasmi yang dikemukakan oleh Kementerian Ekonomi semasa saya menjadi Menteri Ekonomi. Cadangan berkenaan Bestinet dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri dan dibentangkan di Jemaah Menteri sekitar pertengahan 2024 (pada ingatan saya). Ketika itu, Aizuddin adalah Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri dan sepatutnya beliau ingat mengenai bantahan bertulis dari saya dan Kementerian Ekonomi. KDN mencadangkan untuk menyambung kontrak FWCMS dengan Bestinet untuk tempoh 3 tahun sahaja atau sehingga Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (National Integrated Immigration System atau NIIse) beroperasi. Sebagai sebuah agensi pusat, Kementerian Ekonomi berhak memberi pandangan kepada Jemaah Menteri mengenai cadangan itu. Secara rasmi, saya telah menyatakan tidak bersetuju dan memohon cadangan itu diteliti semula oleh KDN. Pendirian saya dan Kementerian Ekonomi pada ketika itu adalah berasaskan perkara-perkara berikut: 1. Kementerian Sumber Manusia telah membelanjakan RM20 juta dari peruntukan pembangunan yang disediakan Kementerian Ekonomi untuk membangunkan sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) yang dimiliki kerajaan. 2. Sistem ePPAx telah pun siap dan dibangunkan bagi tujuan pengurusan pekerja asing. 3. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan Multi Tier Levy Management (MTLM) untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing secara berperingkat. 4. Kementerian Sumber Manusia memang telah mencadangkan agar sistem ePPAx digunakan bagi tujuan pengurusan penggajian pekerja asing dan MTLM. 5. Untuk tujuan penggunaan ePPAx, Kementerian Kewangan juga telah meluluskan peruntukan mengurus sebanyak RM10 juta untuk menaik taraf sistem ePPAx untuk pelaksanaan MTLM. Bantahan saya mengenai FWCMS dan pelanjutan kontrak dengan Bestinet ini direkodkan secara rasmi di dalam minit mesyuarat Jemaah Menteri. Jika benar saya bersetuju dan tidak membantah seperti yang didakwa, sebaiknya R Ramanan mendapatkan kebenaran Perdana Menteri untuk mendedahkan minit mesyuarat Jemaah Menteri mengenai FWCMS dan Bestinet kepada orang ramai. Jika itu dibuat dan memang benar saya tidak bersuara seperti didakwa, ia sekaligus boleh menutup mulut saya kerana Kerajaan Madani dapat membuktikan saya hanya bersuara selepas tidak menjadi menteri, untuk memainkan naratif kononnya saya seorang yang kecewa. Hakikatnya, pandangan-pandangan saya mengenai sambungan kontrak dan isu tata kelola direkodkan secara terbuka di dalam mesyuarat dan koresponden kerajaan, yang ada kalanya dilihat bertentangan dengan kehendak pihak-pihak tertentu termasuk Perdana Menteri. Kecenderungan saya bersuara seperti inilah yang lama-lama membawa kepada pandangan bahawa pengaruh politik saya wajar dikekang (untuk menghilangkan legitimasi saya bersuara di dalam kerajaan), sehingga membawa kepada percaturan politik dalaman PKR yang meletakkan Nurul Izzah Anwar mencabar saya sebagai Timbalan Presiden PKR. Dari ketika itu lagi, saya faham bahawa percaturan itu bukanlah mengenai PKR. Ia mengenai rasa tidak senang sesetengah pihak yang melihat saya tidak mahu tunduk kepada perkara-perkara yang saya tidak bersetuju. Maka, bila prinsip adalah lebih utama dari jawatan, saya memilih untuk meletakkan jawatan kerana jelas bersuara di dalam (seperti mana pandangan saya membantah FWCMS dengan Bestinet) tidak semestinya dapat mempertahankan prinsip tata kelola seperti yang kita janjikan kepada rakyat. Episod FWCMS dan Bestinet ini hanyalah satu dari perkara-perkara yang saya suarakan secara dalaman. Ia menjawab tuduhan kononnya saya senyap di dalam kerajaan, sedangkan saya hanya boleh bersuara melalui dokumen rasmi yang dirahsiakan semasa menjadi kerajaan. Amanah itu kini disambung di luar kerajaan. Bezanya, saya tidak lagi terikat dengan dokumen rasmi dan etika tanggungjawab bersama (collective responsibility) yang mengikat seorang menteri. 𝗥𝗮𝗳𝗶𝘇𝗶 𝗥𝗮𝗺𝗹𝗶 𝘈𝘩𝘭𝘪 𝘗𝘢𝘳𝘭𝘪𝘮𝘦𝘯 𝘗𝘢𝘯𝘥𝘢𝘯

Rafizi Ramli

46,403 views • 4 months ago

𝗭𝗔𝗙𝗥𝗨𝗟 𝗔𝗞𝗨𝗜 𝗡𝗔𝗞 𝗥𝗨𝗡𝗗𝗜𝗡𝗚 𝗕𝗔𝗟𝗜𝗞 𝗣𝗘𝗥𝗝𝗔𝗡𝗝𝗜𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗥𝗜𝗙, 𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗢𝗞 𝗞𝗘𝗖𝗔𝗠 𝗦𝗔𝗬𝗔 𝗦𝗘𝗕𝗘𝗟𝗨𝗠 𝗜𝗡𝗜? Saya dan 2 lagi ahli parlimen PKR, YB Setiawangsa Nik Nazmi dan YB Subang Wong Chen dikecam teruk oleh penyokong kerajaan apabila kami memberikan beberapa saranan untuk melindungi kedaulatan negara akibat dari kesan buruk perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat. Ada yang suruh keluar parti, ada yang kata kami meroyan sebab kalah pemilihan, ada yang suruh saya jual nasi lemak saja. Baru-baru ini, Menteri MITI Senator Tengku Zafrul yang bertanggungjawab merundingkan perjanjian ini, mengakui dalam podcast Keluar Sekejap, yang kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali perjanjian itu. Ini termasuk klausa yang kontroversi seperti klausa 5.1 berbanding klausa sama dengan Cambodia yang secara jelas melindungi kedaulatan negara itu. Saya berlapang dada kerana beberapa perkara yang diulas Tengku Zafrul tidak jauh dari saranan-saranan yang pernah kami buat. Ini termasuk persoalan kenapa perlu tergesa-gesa untuk menandatangani, yang diakui oleh Zafrul sebagai satu keputusan politik yang ada risiko tersendiri. Begitu juga dengan saranan yang kita perlu semak dengan negara-negara serantau supaya perjanjian kita setara, supaya jangan sampai keadaan yang perjanjian Malaysia nampak terlalu memihak kepada Amerika Syarikat berbanding negara-negara lain. Pengakuan Zafrul yang kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali beberapa perkara mengesahkan bahawa kebimbangan kami ada asasnya. Saya sekarang tunggu apa reaksi cybertroopers kerajaan yang selama beberapa minggu mengecam dan memaki hamun kami, di mana mereka apabila Zafrul sendiri mengesahkan perkara-perkara yang kami utarakan? Ini masalahnya apabila komunikasi dan silat politik PKR di-subkontrak kepada watak-watak yang hanya menyertai PKR selepas PKR menang. Sebahagian mereka sebelum ini dengan Pejuang, PAS dan Bersatu. Jadi mereka tidak pernah hadam budaya dalam PKR yang mana kesetiaan ahli parlimen adalah kepada rakyat. Jika ada perkara yang membawa risiko kepada rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersuara, hatta menegur Perdana Menteri sendiri, tidak kira parti Perdana Menteri itu. Semangat inilah yang meletakkan PKR di depan membela rakyat dalam isu-isu besar negara seperti membongkarkan skandal-skandal seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda, MARA dan LCS. Semangat itu juga yang mendapat sokongan rakyat sehingga menjadikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Kalau semangat ini luntur dalam PKR, terutamanya bila ada geng-geng lompat masuk parti yang beriya-iya membodek sehingga isu rakyat tidak boleh dibawa atas alasan jangan kritik kerajaan, lepas ini geng-geng ini kena cari parti baru sebab tak lamalah PKR akan jadi kerajaan.

Rafizi Ramli

126,376 views • 9 months ago

𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 𝟭𝟬 𝗢𝗴𝗼𝘀 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗠𝗘𝗟𝗨𝗡𝗔𝗦𝗞𝗔𝗡 𝗞𝗢𝗠𝗜𝗧𝗠𝗘𝗡 𝗞𝗘𝗪𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 Penstrukturan kewangan Tabung Haji yang diluluskan kerajaan pada akhir 2018 bergantung kepada kemampuan dan kepatuhan Kerajaan Malaysia melunaskan komitmen kewangan kepada Tabung Haji apabila sampai tarikh matang. Konsep kewangan untuk menyelamatkan Tabung Haji adalah seperti berikut: i. Kerajaan Persekutuan, melalui sebuah syarikat milik penuh kerajaan bernama Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang mengalami kerugian pada harga yang lebih tinggi dari nilai sebenar; ii. Sebagai ganti, UJSB menerbitkan dua siri sukuk (kertas hutang) kepada Tabung Haji; iii. Pada tarikh matang iaitu 2026 dan 2029, Kerajaan Persekutuan membayar kembali Tabung Haji untuk menggantikan kertas hutang itu sama ada dengan tunai atau aset pada nilai yang telah dipulihkan. Perkara-perkara ini menjadi tumpuan dalam laporan RCI Tabung Haji di muka surat 107 hingga 137. Antara lain, laporan RCI memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut: a) Langkah memindahkan aset-aset bermasalah Tabung Haji dan menggantikannya dengan satu instrumen sukuk (atas kertas, tanpa aliran tunai) adalah satu langkah sementara, semata-mata untuk membolehkan rizab Tabung Haji menjadi positif dan boleh terus membayar hibah (keuntungan); b) Kerajaan perlu membuat peruntukan dari belanjawan tahunan untuk memastikan komitmen kerajaan itu dilunaskan bila tiba masanya, iaitu tahun 2026 dan 2029; c) Aset atas kertas, melalui instrumen sukuk, menyebabkan aset dan pendapatan tahunan Tabung Haji (yang diakru dari sukuk) nampak lebih baik, tetapi ia tetap bergantung kepada sama ada wang atau aset yang setara disuntik kembali untuk menggantikan aset atas kertas ini apabila sampai tempoh matang. Ketiga-tiga kerajaan (PH, PN dan PH-BN) telah meluluskan peruntukan bagi tujuan melunaskan sukuk sejak tahun 2019. Semasa PH di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad, pada 5 April 2019, kerajaan meluluskan peruntukan sekurangnya-kurangnya RM17.8 bilion bagi menampung kekurangan penebusan sukuk UJSB. Perkara ini disambung di dalam RMK12 (di bawah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob) dan saya percaya di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam RMK13. Walau bagaimana pun, komitmen kewangan untuk memulihkan Tabung Haji mengikut pelan pemulihan di bawah UJSB ini nampaknya tidak dipatuhi. Setakat ini, hanya RM500 juta dibayar kepada Tabung Haji untuk menebus sukuk UJSB itu (seperti penemuan Suruhanjaya Diraja). Pada tahun 2021, di bawah Perikatan Nasional, jumlah yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 sebanyak RM1.5 bilion tidak dibayar kepada Tabung Haji, atas alasan wang diperlukan untuk pemulihan ekonomi akibat Covid19. Kita semua sedia maklum berbilion ringgit diperuntukkan untuk projek-projek di bawah Jana Wibawa yang kemudiannya disiasat akibat amalan rasuah, sedangkan peruntukan itu sebahagiannya telah diberi komitmen kepada Tabung Haji. Terkini, di bawah pentadbiran Madani, sekali lagi kerajaan tidak membayar sepenuhnya komitmen kewangan yang dipersetujui untuk memulihkan Tabung Haji. Sukuk UJSB Siri 1 telah matang pada 29 Mei 2026. Sewajarnya, kerajaan melunaskan komitmen untuk menebus sepenuhnya sejumlah RM12.5 bilion yang perlu dibayar kepada Tabung Haji, sama ada dalam bentuk tunai atau aset yang setara nilai. Ini akan menggantikan sejumlah RM12.5 bilion aset Tabung Haji dari aset atas kertas yang tiada aliran tunai (sukuk UJSB) kepada aset yang ada aliran tunai dan cair (wang, saham, hartanah dan seumpamanya). Walau bagaimana pun, dari jumlah RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta adalah dalam bentuk hartanah (iaitu sebidang tanah di TRX dan tanah-tanah ladang di Sarawak). Jumlah berbaki RM11.5 bilion dilunaskan dalam bentuk satu lagi sukuk baru, yang akan matang dalam tempoh sepuluh tahun (iaitu kerajaan perlu membayar Tabung Haji RM11.5 bilion dalam 2036). Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih dari RM1 bilion setahun untuk melunaskan sukuk UJSB ini bila matang pada 29 Mei 2026. Oleh itu, sewajarnya perbahasan Parlimen esok mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi? Sekiranya kerajaan sekarang dan selepas ini terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB ke masa akan datang (dengan terus menggantikan satu kertas hutang kepada kertas hutang yang baru), Tabung Haji akan terus berdepan dengan risiko kecairan aset dan aliran tunai di masa akan datang. 10 𝘖𝘨𝘰𝘴 2026 Bagi pihak 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜

Rafizi Ramli

25,519 views • 21 days ago

𝗠𝗨𝗛𝗔𝗦𝗔𝗕𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗥𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗦𝗧𝗜𝗪𝗔 𝗜𝗡𝗗𝗢𝗡𝗘𝗦𝗜𝗔 Seluruh dunia tertumpu kepada perkembangan di Indonesia, apatah lagi kita di Malaysia yang serumpun dengan saudara-saudara di Indonesia. Reaksi rakyat Malaysia rata-ratanya baik dan juga disambut baik oleh netizen Indonesia. Banyak kandungan yang saling mendoakan. Sudah tentu ada satu dua kerat yang ingin mempolitikkan semuanya. Ini salah satu contoh - yang mendoakan supaya perkara yang sama berlaku di Malaysia dengan memberi konotasi agar kerajaan bertukar. Ada yang menambah lebih baik tentera mengambil alih. Tidak guna kita berhujah dengan dua tiga kerat begini, tetapi kita juga wajar bermuhasabah tentang apa yang berlaku di Indonesia, terutamanya orang-orang politik seperti saya, pimpinan kerajaan dan pembuat dasar. Kesimpulan awal yang diterima umum ialah kejadian tunjuk perasaan dicetuskan oleh kemarahan rakyat akibat tekanan kos sara hidup yang tinggi dan ledakan berlaku melihatkan kemewahan hidup ahli-ahli politik. Sebelum kita buat kesimpulan rambang, kita wajar semak prestasi ekonomi Indonesia selama dua dekad. Sebenarnya, secara makroekonomi, pertumbuhan ekonomi Indonesia dari 2004 hingga 2024 adalah setara dengan Malaysia, kalau tidak lebih baik. Semua petunjuk ekonomi menunjukkan pencapaian ekonomi yang baik. Secara purata, ekonomi Indonesia tumbuh lebih baik sedikit dari Malaysia dalam tempoh ini. Hanya ada beberapa tahun yang pertumbuhan ekonomi Indonesia tidak setanding dengan Malaysia, itu pun kerana pertumbuhan Malaysia dalam tahun 2010 dan 2022 melonjak selepas menguncup, sedangkan Indonesia tidak mengalami kemelesetan dalam 2009 seperti Malaysia; dan penguncupan akibat COVID adalah lebih sederhana berbanding Malaysia. Begitu juga petunjuk lain seperti kadar inflasi. Kadar inflasi Indonesia lebih kurang seperti Malaysia. Bagi tahun 2024, inflasi Indonesia 2.9% berbanding Malaysia 1.8%. Kadar pengangguran Indonesia adalah 3.3% berbanding Malaysia 3.8% bagi tahun 2024. Malah, kedudukan kewangan kerajaan Indonesia adalah jauh lebih stabil, dengan kadar hutang kerajaan sekitar 40% dari saiz ekonomi, berbanding 65-66% bagi Malaysia. Jadi bagaimana ekonomi Indonesia, yang pada pengamatan biasa ahli ekonomi berada dalam keadaan memberangsangkan, menghasilkan rasa tidak puas hati yang begitu tinggi di kalangan rakyatnya? Ini adalah muhasabah yang ahli politik dan pembuat dasar Malaysia perlu ingat. Angka-angka makro itu penting. Ekonomi mesti berkembang pesat, inflasi dikekang supaya tidak menghakis kuasa beli, rakyat mesti ada pekerjaan. Tetapi angka makro tidak memberi gambaran keseluruhan, sekiranya laba dari perkembangan ekonomi itu tidak sampai kepada rakyat dengan cepat. Apa pertalian di antara angka makro dengan kedudukan sosio ekonomi rakyat, yang selalu disebut sebagai ekonomi mikro? Pertumbuhan ekonomi di peringkat makro perlu diterjemahkan kepada kenaikan gaji yang setimpal kepada rakyat. Angka ekonomi lapisan kedua yang sama penting ialah pelaporan gaji rakyat. Kadar inflasi di peringkat makro mesti dibandingkan dengan beban kos sara hidup bulanan isi rumah. Angka ekonomi lapisan kedua yang sama penting ialah statistik pendapatan boleh belanja bersih (net disposable income) yang mengukur lebihan gaji setelah ditolak perbelanjaan utama. Inflasi yang kekal perlahan adalah baik, tetapi harga tinggi yang kekal ditakuk lama, kalau gaji tidak naik dengan lebih cepat, akan tetap menekan rakyat. Begitu juga dengan kadar pengangguran. Kadar pengangguran yang rendah tidak bermakna rakyat melakukan kerja yang setimpal dengan kelayakan, atau mendapat gaji yang setimpal. Sekali lagi, laporan gaji rakyat adalah angka ekonomi lapisan kedua yang penting untuk memahami perkara-perkara ini. Dari sini, kita boleh tahu sama ada pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kenaikan gaji dan kerja sepadan yang setara kepada rakyat. Sudah tentu realitinya lebih mencabar. Pertumbuhan ekonomi, seperti yang berlaku di Indonesia, tidak semestinya diterjemahkan menjadi laba kepada rakyat dengan segera. Sebab itu setiap kenaikan cukai atau kos, walaupun ia berkadar dengan kenaikan kos pengeluaran yang perlu ditanggung, ditentang oleh rakyat. Di sinilah pentingnya dasar dan program ekonomi yang mengubah struktur ekonomi, agar pertumbuhan bukan sahaja lebih mampan, laba ekonomi juga dapat dirasai pada kadar yang berpatutan oleh rakyat. Bentuk-bentuk dasar yang penting ini termasuklah reformasi pasaran kerja berkaitan pergantungan kepada pekerja asing, program sokongan kenaikan gaji dan peningkatan kemahiran untuk pekerjaan bernilai tinggi. Selain itu, negara memerlukan tambah baik segera kepada sistem perlindungan sosial dan agihan bantuan yang lebih cekap. Tetapi muhasabah paling besar dari insiden di Indonesia adalah kepada ahli politik dan golongan elit. Jika rakyat melihat ahli politik, yang dari segi pendidikan atau kemahiran tidaklah banyak berbeza dari mereka, tiba-tiba boleh hidup mewah hasil dari kedudukan mereka, maka rakyat akan rasa mual dan marah. Begitu juga kepada tokoh-tokoh yang dilihat sebagai rapat dengan pemerintah atau pun dianggap kroni mereka yang berkuasa. Jika kemahiran dan usaha mereka tidak seberapa tetapi dilihat kaya serta merta dan mewah melampaui batas, rakyat akan benci dan golongan elit pemerintah juga akan terpalit. Jadi jangan marah saya jika saya terus bersuara memberi peringatan mengenai beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini, kerana rakyat kita pun sentiasa memerhati golongan elit di kalangan ahli-ahli politik, keluarga dan rakan-rakan mereka.

Rafizi Ramli

26,788 views • 1 year ago

𝗨𝗖𝗔𝗣𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗡𝗨𝗦𝗜 𝗠𝗕 𝗞𝗘𝗗𝗔𝗛: 𝗖𝗜𝗡𝗔 𝗔𝗗𝗔 𝗖𝗛𝗜𝗡𝗔, 𝗜𝗡𝗗𝗜𝗔 𝗔𝗗𝗔 𝗜𝗡𝗗𝗜𝗔, 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨 𝗛𝗔𝗡𝗬𝗔 𝗔𝗗𝗔 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨 Ada penyokong PH yang marah saya kerana kononnya saya tidak komen mengenai ucapan Dato’ Seri Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang telah menimbulkan kontroversi dan kini menjadi siasatan polis. Dan ini bukan kali pertama ucapan-ucapan MB Kedah ini yang selalu berbaur perkauman menimbulkan kontroversi hingga disiasat polis. Ucapan di Negeri Sembilan itu juga mewujudkan ketegangan dalam hubungan BN dan PN, sehingga Presiden UMNO secara terbuka memberi isyarat Sanusi tidak dialu-alukan untuk berkempen di Negeri Sembilan. Selepas menjadi kontroversi, pihak Sanusi cuba memberi alasan-alasan. Antaranya alasan biasa ahli politik konon ucapannya telah diputar belitkan pihak media. Beliau juga ingin mengambil tindakan mahkamah kepada banyak pihak, selain dari menulis panjang lebar dalam bahasa Inggeris dengan memetik ahli-ahli politik Britain di masa lalu yang kononnya bersetuju dengannya. Saya akan komen panjang lebar mengenai doktrin yang ingin dibawa melalui ucapan-ucapan seperti ini dalam podcast YBM Episod 57 minggu ini, hari Jumaat 31 Julai jam 9 malam. Sekarang saya nak lontarkan dahulu satu pandangan mengenai doktrin yang menjadi asas kepada ucapan-ucapan seperti ini. Tetapi sebelum itu, apa yang Sanusi cakap sebenarnya? Ini transkrip ucapan Sanusi di Jempol yang dipertikaikan, bermula dari minit 14: “Melayu tak dak dah tanah. Melayu ada tanah Melayu ni saja. Orang India ada India, orang Cina ada China..” Mereka yang membela Sanusi akan berhujah itu satu pernyataan fakta, bahawa ini tanah untuk orang Melayu. Mereka yang tersinggung dengan Sanusi akan berhujah maksud tersirat dari ayat dan keseluruhan ucapan Sanusi ialah orang bukan Melayu adalah pendatang, yang akan sentiasa ada tanah air lain selain dari Malaysia. Bersetuju atau tidak dengan ucapan tersurat dan tersirat yang dibuat Sanusi itu bergantung kepada kecenderungan emosi masing-masing. Kupasan saya berbeza sedikit dari pelbagai pandangan yang ada. Saya lebih berminat kepada persoalan pokok yang tidak dinyatakan secara terbuka, yang akan terus menghasilkan tokoh-tokoh seperti Sanusi Md Nor dan ucapan-ucapan begini di masa akan datang. Persoalan pokoknya ialah model masyarakat yang kita ada dan bagaimana kita ingin membentuk sebuah masyarakat Malaysia kini dan di masa akan datang. Segala isu yang membawa kepada kempen politik seperti penyatuan ummah, muafakat nasional, Melayu hanya ada tanah ini sebenarnya kembali kepada satu doktrin. Doktrin ini adalah begini: Melayu adalah tuan di negara ini. Jika ada rakyat Malaysia yang bukan Melayu, anda boleh duduk disini tetapi perlulah ikut saja apa yang Melayu putuskan. Keputusan orang Melayu ini dibuat oleh pimpinan Melayu di kalangan mereka, bagi pihak orang Melayu. Mengikut doktrin ini, pimpinan bukan Melayu yang bergabung dengan mereka, melalui parti-parti politik yang menyokong mereka, adalah bukan Melayu yang sanggup tunduk kepada doktrin ini dan boleh diterima. Pimpinan bukan Melayu yang melawan mereka dalam pilihan raya, menjadi bukan Melayu yang biadab dan mencabar kuasa Melayu. Apabila majoriti orang bukan Melayu memilih parti-parti yang tidak bergabung dengan mereka, ia diangkat menjadi bukan Melayu lawan Melayu. Setakat ini, tidak ramai yang mengupas apa kesan politik yang berasaskan doktrin seperti ini kepada negara dan masa depan rakyat. Saya boleh sebut beberapa perkara. Adakah doktrin ini berjaya mewujudkan keharmonian dalam masyarakat? Setakat ini nampaknya tidak - sampai bila-bila akan ada pihak yang merasakan Perlembagaan telah meletakkan hak kepada setiap rakyat tidak kira kaum dan melindungi hak Bumiputera. Maknanya doktrin ini hanya boleh berjaya buat beberapa ketika dan pendulum politik akan terus berayun dari satu ekstrim ke ekstrim yang satu lagi. Yang mendapat kuasa dan kelebihan adalah pemimpin politik, baik yang Melayu atau bukan Melayu apabila mereka mendapat jawatan dan gaji, sedangkan kehidupan rakyat, Melayu atau bukan Melayu, kekal sama. Adakah doktrin ini berjaya mengangkat martabat Melayu dan penguasaan Melayu dalam ekonomi? Juga tidak. Angka menunjukkan walaupun kerajaan itu 80% Melayu dan menguasai dua pertiga parlimen seperti di bawah Umno dahulu, pemilikan ekuiti Bumiputera kekal sekitar 17-18% dari dulu hingga sekarang. Kerajaan bertukar ganti, ekuiti Bumiputera kekal sama. Bila ada pemimpin Melayu dari doktrin ini yang baru naik, di depan mereka memainkan isu doktrin penguasaan Melayu, di belakang mereka bersalam dengan tauke-tauke Cina dan India yang sama yang ada semasa mereka pembangkang dahulu. Sebab itu kerajaan bertukar ganti tetapi struktur ekonomi tidak berubah. Yang berubah hanya jenis kroni dan bangsawan Melayu, Cina dan India yang berkongsi kekayaan sesama mereka. Adakah doktrin ini berjaya menghentikan rasuah? Sebenarnya doktrin ini juga yang banyak menyumbang kepada rasuah. Doktrin kuasa politik seperti ini bermakna kuasa memberi lesen, kontrak, dan monopoli dipegang Melayu untuk ditentukan kepada siapa akan diberikan. Kerajaan bertukar ganti, tetapi lesen, kontrak dan monopoli tetap diberikan kepada kelompok kecil yang sama. Dalam kelompok kecil ini ada Melayu, Cina dan India yang kini menjadi kawan kepada geng terpaling Melayu yang sebelum itu menjaja doktrin ini. Maka selagi doktrin ini tidak diperjelaskan, dikupas dan dihadam secara waras, pendulum politik akan terus berayun - satu masa doktrin ini menguasai dan parti-parti yang menjajanya akan menang. Bila menang, mereka buat benda yang sama dan berselindung di sebalik doktrin ini, tetapi rakyat mula nampak rasuah, kegagalan mentadbir, penyelewengan dan kemewahan mereka. Pendulum politik berayun lagi ke satu ekstrim yang bertentangan dan mereka kalah. Jika kerajaan yang baru itu tidak berjaya mencabar doktrin ini dengan membuat yang lebih baik, ia memberi nyawa kepada doktrin ini dan pendulum politik mula berayun kembali. Ini situasi politik sekarang. Kupasan saya setakat ini hanya permulaan, ikuti podcast YBM Episod 57 Jumaat ini, 31 Julai.

Rafizi Ramli

31,416 views • 1 month ago

𝗞𝗘𝗣𝗨𝗧𝗨𝗦𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗦 𝟭𝗠𝗗𝗕 𝗗𝗔𝗧𝗢’ 𝗦𝗘𝗥𝗜 𝗡𝗔𝗝𝗜𝗕 𝗧𝗨𝗡 𝗥𝗔𝗭𝗔𝗞 Sebentar tadi, Hakim Mahkamah Persekutuan, YA Dato’ Collin Lawrence Sequerah telah selesai membaca penghakiman beliau, dalam kes Dato’ Seri Najib Tun Razak bersabit 4 tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion. Bagi mereka yang kurang arif mengenai kes ini, ia bersabit sejumlah wang yang masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang pada awalnya dikatakan satu derma keluarga diraja Saudi kepada beliau, tetapi akhirnya dibuktikan wang itu adalah dana 1MDB. Hakim YA Dato’ Collin Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes dan mendapati Dato’ Seri Najib bersalah dalam kesemua tuduhan itu. Setakat ini, mahkamah belum menjatuhkan hukuman terhadap Dato’ Seri Najib. Telefon saya berbunyi setiap beberapa minit kerana pihak media mahu mendapatkan komen saya. Saya fikir lebih baik saya sampaikan reaksi awal saya di sini. Kes 1MDB sebenarnya berlarutan 15 tahun, dari tahun 2010 apabila keraguan mengenai pelaburan 1MDB di dalam Petrosaudi mula-mula ditimbulkan, hinggalah ke hari ini. Ia melibatkan banyak pihak dan satu penceritaan yang panjang selama 15 tahun. Sudah tentu setiap dari kita ada pandangan masing-masing. Mereka yang mengikuti bukti-bukti yang telah ditunjukkan kepada umum, baik semasa isu ini dibawa di luar mahkamah sehinggalah bukti-bukti dikemukakan di mahkamah, sudah tentu bersetuju dengan keputusan hakim pada hari ini. Mereka yang tidak bersetuju, atas sebab-sebab mereka sendiri, akan terus tidak bersetuju. Itu hak kita masing-masing sebagai seorang rakyat. Yang penting, kes 1MDB ini telah melalui proses yang penuh, dari mahkamah rakyat sebelum Dato’ Seri Najib didakwa, hinggalah ke mahkamah undang-undang. Perbicaraan ini juga mengambil masa yang panjang, bermula dari tahun 2019 lagi. Selepas ini, akan ada proses rayuan ke Mahkamah Rayuan hinggalah ke Mahkamah Persekutuan. Proses mahkamah ini akan mengambil masa beberapa tahun lagi. Sudah tentu pandangan kita itu adalah hak kita, tetapi pandangan kita wajar disandarkan kepada tanggungjawab kita juga. Tanggungjawab sebagai rakyat, dalam menilai perkembangan kes ini sama ada bersetuju atau tidak, perlulah di dalam garis undang-undang. Jadi sebaiknya kita teliti hujah penuh penghakiman YA Dato’ Collin Sequerah apabila ia dikeluarkan. Elakkan apa-apa tuduhan yang tidak berasaskan atau merujuk kepada hujah penghakiman itu kerana ia boleh melanggar undang-undang dan menghina mahkamah. Tanggungjawab sebagai seorang insan, dalam kita menilai kes ini, wajarlah kita menghadam keseluruhan maklumat. Gunakan akal, kewarasan dan hati nurani kita. Setelah melalui proses ini, sebagai seorang manusia yang telah menggunakan hak kita secara bertanggungjawab, maka damailah kita dengan apa-apa kesimpulan yang kita buat secara peribadi. Hak untuk terus membela Dato’ Seri Najib, oleh mana-mana pihak, asalkan berlandaskan undang-undang, itu hak mereka. Hak pihak yang lain untuk bersetuju dengan perkembangan kes ini setakat ini, kita juga wajar hormati. Tidak ada sesiapa yang boleh cuba memaksa pihak yang lain untuk mengikuti pandangan mereka. Kerana kes 1MDB ini tidak boleh dipadamkan sampai bila-bila, dan apa pun pengakhirannya tidak akan mendamaikan pihak-pihak yang bertembung. Kes 1MDB memang satu kes yang divisive. Kes yang memecah belahkan rakyat Malaysia. Kes yang mengejutkan. Kes yang penuh emosi. Jadi terpulanglah kepada setiap dari kita untuk mencari ketenangan, agar akhirnya generasi akan datang boleh mendapat iktibar dari episod 1MDB yang panjang ini. Saya pasti setiap dari kita yang mengikuti kes ini ingat di mana, pukul berapa, kita tengah buat apa, setiap kali ada perkembangan besar kes 1MDB sejak 2010. Saya ingat masa dan ketikanya saya dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan bersabit kes 1MDB seawal November 2016. Saya ingat apabila rayuan saya ditolak dalam bulan Ogos 2017 dan terpaksa menerima hakikat kemungkinan besar saya akan ke penjara. Saya ingat perbincangan dengan isteri supaya beliau berhenti kerja, agar masa berbaki beberapa bulan yang ada, isteri dan anak saya ikut saya berkempen ke seluruh negara kerana itu mungkin bulan-bulan terakhir yang saya ada bersama mereka. Saya ingat apabila papan tanda elektronik di London memaparkan berita saya dijatuhkan hukuman penjara kerana mendedahkan laporan audit 1MDB. Di antara tahun 2013 hingga 2022, saya menulis 123 artikel dan pendedahan mengenai 1MDB. Semuanya masih ada di blog saya dan boleh dibaca di Jadi saya faham yang semua pihak ada emosi masing-masing. Damailah kita dengan emosi itu. Yang penting jangan sesekali kita benarkan perkara yang sama berulang di masa hadapan. Dan jika kita perlu terus menegur, walau rimas macam mana pun, kita wajib terus bersuara kerana cukuplah ada satu 1MDB dalam sejarah kita.

Rafizi Ramli

200,573 views • 8 months ago

𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗥 𝗧𝗨 𝗣𝗠𝗫, 𝗡𝗔𝗦𝗜𝗛𝗔𝗧 𝗗𝗔𝗥𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗔𝗡𝗔𝗡: 𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗣𝗜𝗟𝗜𝗛 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 Kecoh Konvensyen PKR Johor bila Naib Presiden PKR, R Ramanan disanggah secara terbuka oleh Hassan Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang. Sebabnya ialah R Ramanan menggunakan pentas konvensyen parti untuk menyerang saya. Saya tak rasa apa pun. Serangan terhadap saya yang diatur bertali arus ini akan memakan diri. Jadi lagi banyak Ramanan buka mulut, sebenarnya lagi bagus. Saya juga ucap terima kasih kepada Saudara Hassan Karim. Masih ada lagi beberapa orang dalam PKR sekarang yang faham tentang adab, jasa, sumbangan, perjuangan dan pengorbanan. Rakyat menonton sendiri bongkaknya Ramanan sehingga boleh menasihati secara terbuka seorang Perdana Menteri supaya jangan salah pilih menteri ekonomi. Maknanya, sebelum ini Perdana Menteri telah buat silap kerana memilih saya menjadi Menteri Ekonomi. Dia mungkin rasa itu cuit manja dia dengan Anwar Ibrahim, tetapi orang ramai boleh menilai bahawa adab kebiasaannya bukan begitu. Ramanan berkelakuan demikian kerana dia cukup yakin pengaruhnya dengan Anwar Ibrahim. Dan saya menjadi saksi kepada semua itu. Di hari-hari terakhir sebelum pengumuman calon untuk PRU15, hanya tinggal satu kerusi yang tidak ada persetujuan antara saya dengan Dato’ Seri Anwar - iaitu Sungai Buloh. Saya tetap dengan pendirian bahawa antara dua nama iaitu Sivarasa Rasiah (penyandang ketika itu) dan Ramanan, Sivarasa adalah calon yang lebih baik dari segala aspek. Lagi pun Ramanan berkeras pada ketika itu tidak mahu mengisytiharkan harta, sedangkan calon-calon lain telah menghantar pengisytiharan harta. Keadaan ini berlanjutan hingga ke hari pengumuman calon dan tidak selesai sehingga jam 6 petang, sedangkan majlis akan bermula jam 8 malam. Dalam bilik Dato’ Seri Anwar di Bukit Gasing pada ketika itu, ada saya, Anwar Ibrahim dan seorang teman rapat kami. Seboleh yang mungkin, bila berjumpa dengan Dato’ Seri Anwar dari dulu-dulu lagi, saya mahukan ada saksi supaya ceritanya tidak bertukar di kemudian hari. Maka kejadian ini ada saksi. Saksi itu cukup rapat dengan saya dan Anwar Ibrahim. Saya tetap tidak berganjak dan menyatakan keputusan Jawatankuasa Calon bahawa Sivarasa adalah calon yang lebih sesuai dari segenap aspek. Akhirnya, Dato’ Seri Anwar, dalam keadaan kami sama-sama duduk, memegang lutut saya dan merayu untuk lepaskan Ramanan jadi calon. Saya lihat matanya ada genangan air mata. Jadi saya sebut kepada beliau: “You ada the final say. I’ve done everything I can, tapi kalau you berkeras, that’s your decision. You don’t have to plead macam ni” Jawapan Dato’ Seri Anwar: “Saya tak mahulah nanti you buat kecoh” Saya jawab balik: “Akhirnya it’s your decision. Saya hanya minta Dato’ Seri janji that this is as far as Ramanan will go in PKR and politics. You will not appoint him further in the party and kalau menang jadi kerajaan, you will not appoint him into the government.” Dato’ Seri Anwar nampak lega dan bersetuju dengan janji-janji itu. Malam itu, oleh kerana keputusan hanya dicapai di saat akhir, bila nama Ramanan diumumkan sebagai calon PKR di Sungai Buloh, gambarnya masih gambar Sivarasa. Sebab kami tak sempat tukar gambar Ramanan di saat akhir. Selepas jadi kerajaan, walaupun semasa pembentukan kerajaan Ramanan tidak dilantik, bila ada saja rombakan pertama Ramanan terus dilantik menjadi Timbalan Menteri. Itu sekitar akhir 2023. Jadi pada ketika itu pun saya tahu, ada hubungan istimewa di antara Dato’ Seri Anwar dengan Ramanan, sehingga Perdana Menteri sanggup melanggar janjinya sendiri kepada saya yang disaksikan oleh seorang lagi rakan baik kami berdua. Saya juga telah sedar pun pada ketika itu bahawa banyak perkara yang kita mulanya ingat tidak menjadi titik perbezaan - contohnya soal Azam Baki, SPRM dan lain-lain - akan terus bermasalah, kerana cerita-cerita mengenai Farhash, Ramanan dan lain-lain mula kedengaran. Kalau saya kongsi perkara ini sebelum Konvensyen PKR Johor, orang tidak percaya. Sekarang, saya harap orang ramai boleh nilai sendiri bahawa Dato’ Seri Anwar sudah terikat dengan beberapa orang seperti Ramanan ini.

Rafizi Ramli

107,692 views • 4 months ago